Saturday, July 31, 2010

Ini Kisah Seorang Manusia

Dipetik daripada nota peribadi di Facebook...

Ini kisah seorang manusia, tak kalah luar biasa
Johan acara pecut sperma, Suraini diberi nama
Lahir secara normal, asalnya dulu tidaklah buntal
Lantaran penyakit kuning, kini tetap jua tak langsing!

Bertarung dengan ajal, namun semangatnya kental..
Kecil agak nakal, namun syukurlah cerdas akal
Sungguhpun banyak kerenah, namun dikata banyak tuah
Punya empat beradik, tergolong yang paling pelik
Kerap disalah-fahami, tapi tetap mahu kompromi..

Awal remaja zaman berkonflik, tercari-cari identiti unik
Punya keyakinan tinggi, berhadapan pula hasad dengki
Fitnah rakan karib, buat diri semakin gharib
Meski parutnya parah, namun diri tak hilang arah..

Meningkat awal dewasa, semakin faham ertinya jasa
Dugaan bertali-arus, namun semangat bernyala terus
Sarat pengalaman diiring tauladan, untuk jadi panduan
Dahaga ilmu, ketandusan hati, bangkit berusaha mencari..

Kerana ikhlas menjadi murid, bertemu guru mursyid
Bukit Sembilan jadi saksi, dunia tasawuf diselami
Tidaklah beriman sebelum diuji, cubaan tiba lagi
Bahtera ilmu yang diteraju, tidak lagi direstu..

Hidup masih di atas budi, bukan hakmilik peribadi
Zalim jika menghampakan, segunung tinggi harapan
Tinggallah ahzab, tinggallah madaih, tinggallah syurga ilmu
Kerana yang lebih afdhal dituntut adalah restu ibu..

Garis takdir telah terukir, tugas manusia adalah berfikir
Jika hati dahulunya berat, kenanglah seribu berkat
Hajat ibu ditunai sendu, jadilah seorang guru
Janji Al 'Alim tiada dusta, hati janganlah buta
Berbakti kepada orang tua, besarlah ganjarannya..

Keringat dicurah akal diperah, jadi guru bukan mudah
Tugas utama mudah cuma, birokrasi menyukar segala
Pelbagai ragam juga kerenah, hampir2 nak termuntah
Bukan menuding anak didik, sebaliknya kakitangan yang gedik..

Jadinya aku seorang guru, atas ketentuan-MU
Termaktub dalam qada' dan qadar, aku wajib bersabar
Hulurkan ya Allah kiranya bantuan untuk jadi pegangan
Tatkala diuji pelbagai cubaan, usah biarku bersendirian..

Memang aku sedia maklum, juga sedia mafhum
Menegak syiar agama-MU kini, ibarat menggenggam bara api
Tidak jarang pihak yang benar, dianggap pesalah besar
Tidak pelik pelaku seleweng, berleluasa tersenyum sumbing
Namun aku tetap percaya, Iblis tak henti menipu daya
Barangsiapa terjerumus, kelak terbakar hangus..

Teruslah diri menyambung hayat, mencurah bakti dan keringat
Mengharap redha serta berkat, bekal di hari kiamat
Sungguhpun azab sungguhpun teruk, menanggung nama yang busuk
Kefahaman ilmu yang telah dituai tidak mungkin tergadai...


-Selesai pada jam 3.07 pagi, 7 Muharam 1431 Hijriyah
bersamaan 24 Disember 2009.