Tuesday, August 25, 2009

DIPLOMASI DAN SURAINI

Diplomasi. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, diplomasi bermaksud "seni dan kemahiran berurus dgn seseorang tanpa menyinggung perasaannya". Mengapa saya mengutarakan tajuk ini? Tidak lain tidak bukan adalah rentetan kepada beberapa peristiwa yang berlaku kepada saya sejak akhir-akhir ini. Dan perkataan diplomasi beserta aplikasinya berkait rapat dengan peristiwa-peristiwa berkenaan.

Tidak perlu saya perincikan apakah peristiwa yang berlaku itu. Cukuplah jikalau saya memberikan gambaran bahawa nama baik saya sedang cuba dijejaskan. Apa yang paling saya kesalkan, saya juga menerima pelbagai tekanan yang berbentuk perang psikologi, dalam pada saya cuba untuk menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Di antaranya, usaha saya diperlekehkan, kondisi kesihatan saya yang kurang baik tidak diyakini, kewibawaan saya tidak begitu diiktiraf dan dedikasi saya turut dipersoalkan. Namun, saya tidak menyalahkan pihak yang termakan jarum itu 100%. Saya sendiri tak mempunyai banyak masa, peluang atau kesempatan untuk membuat penjelasan. Justeru, sempena cuti sekolah kali ini, saya terpaksa mencuri sedikit masa untuk meleraikan konflik yang berlaku, di samping berusaha membersihkan nama, serta menjaga kredibiliti saya selaku seorang guru. Itupun di blog ini, yang entah siapa yang akan kunjungi...?

Saya pernah mengambil banyak ujian dan kuiz personaliti sejak di bangku sekolah menengah lagi. Tujuannya bukan untuk sekadar suka-suka, tetapi saya terdorong untuk mengenali diri sendiri secara lebih mendalam lagi. Bukanlah bermakna saya langsung tidak kenal dengan diri sendiri. Tetapi, dengan adanya ujian dan kajian daripada sumber-sumber yang dipercayai, beserta mekanisme ujian dan hasil kajian pakar (seperti Dr Fadzilah Kamsah dan Dr Sidek Baba), maka sudah tentulah saya lebih yakin dan pasti dengan hati budi sendiri. Sehinggakan jikalau ada yang cuba mempertikaikan sikap dan cuba menyerang peribadi dan prinsip saya, maka saya hanya perlu mengusulkan hasil kajian dan keputusan ujian yang telah diambil sebagai bantuan dan dalil yang menguatkan hujah mahupun penafian saya dalam rangka mempertahankan diri.


Bukan berniat untuk memuji diri sendiri, tetapi sekadar pendedahan dan pengetahuan untuk semua pihak cuba memahami diri ini. Memetik hasil ujian personaliti yang diambil:

KAJIAN 25 TAHUN DATO’ FADZILLAH KAMSAH
KAREKTOR KELAHIRAN MANUSIA
JULAI
Sangat seronok didamping (suka berkawan). Banyak berahsia dan sukar
dimengerti terutamanya lelaki. Agak pendiam kecuali dirangsang. Ada harga dan maruah diri. Tak suka menyusahkan orang lain tapi tidak marah apabila disusahkan (tapi janganle lebih2!). Mudah dipujuk dan bercakap lurus. Sangat menjaga hati orang lain. Sangat peramah. Emosi sangat mendalam tapi mudah terluka hatinya. Berjiwa sentimental. Jarang berdendam. Mudah memaafkan tapi sukar melupakan. Tidak suka benda remeh-temeh. Membimbing cara fizikal dan mental. Sangat peka, caring dan mengasihi serta penyayang. Layanan yang serupa dengan semua orang (tak pilih bulu). Tinggi daya simpati. Pemerhatian yang tajam. Suka menilai orang lain dengan
pemerhatian (tak mudah termakan hasutan).
Mudah dan rajin belajar. Suka muhasabah diri. Suka mengenangkan peristiwa atau kawan lama. Suka mendiamkan diri (terutama apabila marah). Suka duduk di rumah. Suka tunggu kawan tapi tak (pergi) cari kawan. Tak agresif kecuali terpaksa. Lemah dari segi kesihatan perut. Mudah gemuk kalau tak kawal diet (memang dah gemuk pun..). Minta disayangi. Mudah terluka hati tapi lambat pulih (selalunya pujuk diri sendiri). Terlalu mengambil berat (komited). Rajin dalam membuat kerja.


Nombor Akar (13 Julai 1980=13+7+1980=2000,2+0+0+0=No. 2):
PENDAMAI
Dilahirkan sebagai diplomat.
Selalu memikirkan dan peka terhadap keperluan dan perasaan orang lain sebelum mengambil kira diri sendiri (asyik nak jaga hati orang je, last2 kena buli. Takmo la gitu..!).
Secara semulajadi sangat analitikal dan suka mengikut gerak hati.
Tidak suka bersendirian.
Persahabatan adalah penting dan berupaya mendorong untuk berjaya di dalam hidup.
Sanggup bersendirian jika hubungan yang terjalin tidak serasi (kira berpendirian teguh dan berpegang dengan prinsip la..).
Golongan yang secara semulajadi pemalu, patut belajar meningkatkan nilai kendiri dan meluahkan perasaan secara terbuka tanpa berselindung.

Warna Personaliti:
OREN
Berani tanggung risiko atas setiap perbuatan.
Berani buat, berani tanggung.
Bijak ambil hati orang keliling.
Disenangi ramai (yang jeles pun ramai!).
Punya matlamat tersendiri dalam hidup.
Sanggup bersaing untuk berjaya.
Sukar mempercayai orang lain (belum try, belum tau la).
Bila percaya seseorang, percaya sampai mati.
Kepercayaan amat penting!


Begitulah sedikit sebanyak mengenai diri ini yang acapkali disalahfahami oleh orang keliling. Tak terkecuali oleh ibu bapa dan kaum keluarga. Justeru, jika ada sesiapa, terutamanya mereka yang tidak pernah rapat atau mendampingi saya dengan baik, mendakwa yang dia kenal benar dengan hati budi saya dan melabelkan atau menuduh saya dengan pelbagai tuduhan negatif, saya sarankan supaya belajarlah mengenali diri sendiri terlebih dahulu. Kemudian renungkan pula apa perasaannya sekiranya disalah-mengertikan oleh orang keliling.

Saya ingin meluahkan kekesalan saya dengan sikap segelintir manusia yang saya kenali, yang suka membuka aib dan mencanangkan kelemahan orang lain. Golongan sebegini sebenarnya hanya cuba menutup kelemahan sendiri dengan menonjolkan kelemahan orang lain, ataupun cuba memanipulasi situasi, semata-mata untuk mencapai keinginan dan menjaga kepentingan peribadi. Mereka lupa bahawa mereka ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan dan pada diri mereka juga ada hak orang lain yang perlu mereka sempurnakan.

Sempena bulan Ramadhan yang suci ini, saya doakan semoga setiap insan yang diduga akan dibekalkan dengan setinggi-tinggi kesabaran. Tiap-tiap yang beriman akan diuji. Jikalau seseorang itu percaya hidupnya di dalam percaturan dan pemerhatian Allah, maka dia tidak akan sekali-kali berani menghukum atau cuba mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

Mungkin hari ini kita "menjatuhkan" orang lain, tetapi suatu hari kelak, jangan pula kita persoalkan kenapa kita diduga sedemikian rupa. Namun, haruslah diingat bahawa tiap dugaan adalah tanda kasih-Nya. Bukan semestinya adalah balasan atas kesilapan lalu. Terpulang kepada manusia untuk mengambil pengajaran dan memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik, menjejaki langkah al Insan al Kamil, Nabi Muhammad s.a.w. Amin...