Sunday, December 12, 2010

SEKILAS RASA.... MENGIMBAS PERISTIWA.

Tengah letih yg tahap takleh lelap ni, fikiran pun menerawang le ke merata alam.. Kepala hotak ni kalau dilayan, setan memang suka tumpang sekaki sakan! Tapi, hati yang belum mati kenala pandai lawan..

Aku suka bicara bisu
Hanya tinta melakar kisah
Tiada berselang komen melulu
Yang terpendam mudah terluah

Salahkah jika menceritakan?
Jika ditanya sesama rakan
Yang prihatin penuh perhatian
Bukannya aku menagih kasihan

Sudah puaskah mengadu domba?
Menghambur esak dan airmata
Meratap ke sini dan ke sana
Selagi hati tak rasa lega

Aku di sini dia di sana
Di sini tersiksa di sana terleka
Sampai saat juga ketika
Di sini juga dapat bahana

Jika aku mendapat sokongan
Dari keluarga dan juga teman
Apa pula yang engkau risaukan
"Keistimewaanmu" tak sikit termudaratkan

Lain halnya engkau di sana
Berdamping setia di sisi ketua
Apa sahaja terlintas di kepala
Tak lengah waktu kau aju padanya

Tidak tepatkah, tersalah tempat
Jika aku rasa tergugat
Angkara engkau punya muslihat
Tak semena ku diberi "nasihat"

Kepada rakan dan juga taulan
Jangan ada yang suka mengumpan
Menyampai kisah tak kira zaman
Buat penyedap sembang di laman

Aku sedar aku petia
Ada yang ingkar ada yang setia
Terpulang pada budi bicara
Mahkamah dunia bukan timbangannya

Diam-diam ubi berisi
Diam-diam berkata di hati
Ada yang jadi sahabat sejati
Tak kurang juga yang menjauh diri

Usah biasa menjadi hakim
Dengan mendengar juga melihat
Usah dinafi kuasa Al 'Alim
Dalam menimbang juga menyukat

Jika hati terlanjur bersangka
Dengan lidah jangan dibenarkan
Jika mata memandang hina
Dengan hati jangan diiyakan

Satu lagi nak kutegaskan
Aku ini suka berteman
Tak kira lelaki atau perempuan
Usahlah ada yang suka memasangkan

Bagi temanku si kaum hawa
Jangan takut jangan tak percaya
Tidak ku kejar pada yang punya
Tidak ku harap pada yang teruna

Hidup ini neraka dunia
Setidak-tidaknya buatku sahaja
Kulalui dengan seada-adanya
Tidak ku damba perhiasannya

Dari detik membawa ke tahun
Tidak kujemu mencurah rasa
Agar tiada yang salah sangka (salah ni..."agar tiada yang kacau daun" okey kot?)
Kerana tak kenal, tentu tak cinta...

Huhu.. faham tak sekarang? ;)

Saturday, December 11, 2010

KIASAN..

JERUNG YG GAGAH di lautan jangan disangka berkuasa ke atas sang geragau. Tak mustahil bg makhluk SEKERDIL geragau, lautan yang bergelora itu RAHMAT bgnya untuk menyelamatkan nyawa. Dan tinggallah jerung perkasa terpontang panting, beransur LAYU KELAPARAN, dalam gelombang ganas yang IA SENDIRI cetuskan...

SIAPA YANG TERBAIK DALAM MEMAHAMIMU?

SENSITIF, PEKA, RESPONSIF, IMPULSIF, PERFECTIONIST, STRICT.



Boleh jd maknanya sama, boleh jd berbeza. Tp, tak semestinya sesuatu yg negatif.

Hari ni rasa terpanggil nak membuat kenyataan sbg usaha penjelasan bg segala kekaburan tentang pendirian.

Hah, mula dah!

Sy cube dlm btk penulisan kreatif ye! Harap2 jgn makin tak paham sudahlah!



Mengapa kau susah difahami?

Kerana aku belum kau dekati untuk kau kenali, selami hati dan budi.



Mengapa kau lantang bersuara?

Kerana aku terbiasa berusaha membela nasib sendiri, tanpa bergantung kpd sesiapa di kalangan manusia.



Mengapa kau berani mengkritik?

Kerana aku juga terdidik daripada kesilapan, menelan kritikan dan bangkit dari cemuhan.

Justeru, kini aku terlebih dahulu menjaga dan menegah diriku daripada melakukan kepincangan yg bakal kusaksikan atau kurelakan itu.



Mengapa kau sering mempersoalkan situasi?

Kerana aku sendiri sedang cuba memahami dan mendapatkan informasi, agar tak terlanjur memanipulasi.



Mengapa kau sering mengeluh?

Aku sekadar meluahkan kesal atas apa yang tidak sejalan dgn harapan.

Namun aku bukan pasrah tenggelam dlm putus asa, sebaliknya akan tetap terus berjalan..



Mengapa kadangkala kau tak berterus terang?

Aku juga harus membaca keadaan, hati budi dan peribadi yang cuba ku sentuh, dgn perkataan atau tulisan.

Bukan semua mampu menerima baik kebenaran.

Acapkali pihak yang menyatakan perkara yg pahit2 di pendengaran, dituding sebagai pendengki yang tidak senang melihat kenikmatan yg dikecapi.

Sedangkan yang saban waktu mendendangkan yg manis2 di telinga, dipegang sebagai teman sejati yang sememangnya mahukan ia bahagia..



Mengapa kau sering bersendirian?

Barangkali itu sebagai suatu cara pemeliharaan Tuhan..

Berganding, tak semestinya jodoh.

Bercerai, bukannya salah ajal.

Berhimpun tak mudah untuk bersatu.

Beramai, tak bererti bahagia.

Bersendiri bukan bermakna sepi.



Apa alasan atas ketegasanmu?

Aku sekadar mencari kebenaran.

Mempertikai dan memperdebat, bukanlah kesukaan, bukanlah kegemaran.

Namun aku inginkan kesimpulan yang padu.

Jika terbukti salah, aku tetap akan akur dan membisu...



Tidak bimbangkah manusia menjauhimu?

Apabila telah kuusahakan untuk memberi pengertian, namun prasangka tetap bertakhta di jiwa mereka, aku terlebih lagi sudi berlalu.

Ibarat mencurah air di daun keladi, seruan seorg Rasul juga tetap sirna di kalbu umat yg degil.

Apatah lagi manusia serba tidak maksum, seumpamaku...



Apa yang ada di lubuk hatimu?

Aku cuma berjuang dlm hayat yg dipinjamkan kepadaku.

Dalam pada menjaga hak insan lain, aku juga wajib untuk tidak menzalimi diriku.

Jika aku pasrah hidup dipukul gelombang, aku tak punya jawapan yg tepat untuk diberikan kepada Yang Empunya Kejadian.

Maka biarlah aku terus menongkah arus, asal saja yg hak tetap kujunjung, dan yang batil tetap kubendung...



Siapa yang terbaik dalam memahamimu?

Hanya DIA YANG SATU!

ADUHAI, LELUHUR BANGSAKU...

Lumrah, diri kita disanjung bila mana kelebihan2 tertentu pada diri kita mendapat perhatian dan menerima penghargaan di mata umum.

Namun, jangan dikesampingkan pula kenyataan apabila diri kita disorot oleh pandangan jahat manusia. Segala kelebihan dan kebaikan akan cuba dinafikan dan diselindung. Hanya yang buruk2 diperkata dan dijaja. Biar dari pihak mana, bahkan darah daging sekalipun, jika terpercik oleh 'ain yg tidak baik ini, hidup seseorang tak bisa aman lagi. Dengan kata lain, kita takkan mampu untuk duduk senang dalam apa juga situasi. Pasti akan ada yg menjulurkan kaki, guna untuk menyungkurkan sebuah perjalanan yang kita tempuhi..

Inilah budaya bangsa..

-Kau 'jaga' aku, aku 'jaga' kau..
-Aku lebih dulu makan garam..kau apa tau?
-Yang bawah kena hormat yang atas (yang atas?)
-Dia belum tau aku siapa!
-Ah, pedulikan...takde kena-mengena dengan aku
-Kau kacau aku, aku kucar-kacirkan hidup kau!
-Berani sangat buka mulut, sekarang tanggung!
-Kubur masing2...
-Biar dia rasa..
-Macamlah bagus sangat
-Pandai2 nak mengajar orang!
-Memang jenis bawa masalah!

Aduhai, leluhur bangsaku...
Beginikah akhlak yang diajarkan Nabi kepadamu?
Sedangkan Yahudi yang melemparkan tahi pun ditanyakan kondisinya oleh Baginda,
inikan pula saudara seagama.. tergamak kau cela, kau maki cerca?

Aduhai leluhur bangsaku...
Langit manakah yang kau junjung?
Sedangkan semut halus pun dijaga laluannya oleh Sulaiman,
inikan pula saudara yang sama kejadian.. sanggup kau nafi, kau halang-halangi jalan!

Aduhai leluhur bangsaku...
Bumi manakah yang kau injak?
Sedang yang kafir dan munafiq pun mendapat ihsan Tuhan,
inikan pula saudara seiman.. mengapa sewenang kau sepak-terajangkan?

Aduhai leluhur bangsaku...
Di arasy manakah tingkat kemuliaanmu?
Sedangkan ulah nyata penduduk Taif pun, tak tega Al Mustofa membalas,
inikan pula saudara yang terfitnah.. angkuh sekali kau tuding dan kau ulas..

Aduhai leluhur bangsaku...
Sesempurna manakah hakikat kejadianmu?
Sedangkan Musa pun, terbidas oleh hikmahnya Khidir,
inikan pula saudara yang lebih layak.. tak segan kau olok dan kau cebir..

Aduhai leluhur bangsaku...
Ke hadrat manakah kau fikir kau akan dikembalikan?
Sedangkan Fir'aun pun meluah penyesalan di hujung nyawa,
inikan pula kita yang setauhid.. usahlah merasa betul sentiasa..

Aku tak punya upaya menjelaskan keadaan. Harapanku, mudah-mudahan Allah s.w.t membukakan tabir kesedaran dan keinsafan, lantas menyingkapkan hijab yang menyelubungi kebenaran..

Amiin...

BERADAB DALAM BERBEZA PENDAPAT

Nik Roskiman bin Abdul Samad
Fellow ikim

26/11/2009 | Utusan Malaysia @ ikim

Kita harus menerima hakikat bahawa walaupun agama Islam itu satu, namun tafsiran terhadap Islam itu berbeda-beda. Pemahaman dan seterusnya penafsiran terhadap sumber-sumber Islam yang asal iaitu al-Qur'an dan al-Sunnah adalah tidak sama di kalangan para imam dan para ulama mujtahid. Kerana itulah ianya membawa kepada wujudnya pelbagai aliran atau disebut juga mazhab dalam dunia Islam sejak awal lagi. Bahkan perbezaan kefahaman ini wujud sejak di zaman para sahabat Rasulullah SAW lagi.



Kekalutan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah apabila munculnya sekelompok ‘agamawan reformis' atau digelar juga ‘progresif' yang mendakwa bahawa pendapat mereka sahajalah yang betul lalu mereka ini ingin melakukan apa yang disebut ‘pembaikan' (islah) atau pembaharuan (tajdid) dalam masyarakat. Pembaharuan ini ingin dilakukan atas pelbagai nama dan platform samada ‘minda tajdid', atau mengemudi ‘bahtera itu dan ini' dengan pelbagai slogan pula seperti ‘kembali kepada al-Qur'an dan Sunnah', atau ‘mengikut amalan generasi Salaf' dan seumpamanya.

Apa yang ingin digambarkan oleh kelompok ‘mujaddid palsu' ini ialah bahawa selama ini amalan masyarakat kita kononnya tidak mengikut al-Qur'an dan Sunnah; nenek moyang dan ibubapa kita tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya; masyarakat kita banyak melakukan amalan bid'ah sesat, bahkan turut mempertikaikan mengikut mazhab kerana katanya di zaman Nabi SAW dulu tiada mazhab lalu kenapa kita harus mengikut mazhab hari ini.

Tiada salah untuk melakukan pembaharuan malah ianya dituntut apabila masyarakat menjadi semakin jauh dari amalan murni Islam yang sebenar lalu mencampur-adukkan dengan amalan khurafat dan bid'ah sesat. Bahkan ada hadith dari Abu Hurayrah r.a., yang menyebut bahawa Allah akan membangkitkan setiap seratus tahun untuk ummah ini orang yang memperbaharui agamanya. (Sunan Abu Dawud)

Namun apa yang mengecewakan ialah apabila golongan-golongan ini bukannya ‘memperbaharui' agama dari perkara-perkara khurafat dan bid'ah sesat, tetapi sebaliknya membongkar perkara-perkara khilafiyyah yang telah disepakati para ulama silam sejak ratusan tahun lalu untuk bersetuju berbeda pendapat (agree to disagree). Kesan pembongkaran itu hanyalah menimbulkan keresahan dan keraguan di kalangan masyarakat sehingga membawa kepada perpecahan sesama sendiri.

Perkara-perkara khilafiyyah yang wujud dalam amalan mazhab-mazhab Ahlul Sunnah wal Jamaah seperti membaca qunut Subuh, keadaan jari telunjuk ketika tasyahhud perlu digerakkan atau tidak, berdoa beramai-ramai selepas sembahyang, dan seumpamanya tidak mungkin dapat diselesaikan hari ini jika dahulupun tidak mampu diselesaikan oleh alim-ulama yang ratusan kali ganda lebih hebat dari ulama-ulama hari ini dan lebih dekat dari Rasulullah SAW dan generasi Salaf.

Menyedari hakikat bahawa perbezaan pendapat para ulama itu tidak dapat dielakkan khususnya dalam hal-hal ranting yang terperinci dalam ibadat, maka para ulama usul telah merumuskan bahawa "al-haqqu fil masa'il far'iyyah muta'did" iaitu kebenaran dalam perkara ranting (furu') itu berbilang-bilang". Ianya suatu hakikat bahawa kebenaran dalam perkara bersifat ‘cabang-cabang' Islam ini tidak mampu untuk diseragamkan menjadi satu walaupun ribuan ulama telah mencubanya sejak sekian lama. Lalu selama kita mengikuti pandangan majoriti ulama (al-sawad al-a'zam) iaitu para imam mazhab empat dari kalangan Ahlul Sunnah wal Jamaah, maka Insya Allah kita berada di atas landasan dan jalan yang benar.

Renunglah nasihat para ulama silam dalam mengambil sikap beradab apabila menangani perbezaan pendapat dengan menekuni karya-karya mereka yang banyak berhubung dengan Adabul ikhtilaf (Adab Berbeza Pendapat). Imam al-Shatibi r.a. sendiri sebagai contoh menulis:

Sesungguhnya perbezaan pendapat yang terjadi pada zaman sahabat hingga ke hari ini berlaku adalah dalam masalah-masalah ijtihadiyyah. Pertama kali ianya berlaku pada zaman Khulafa' al-Rasyidin dan sahabat-sahabat yang lain, lalu berterusan sehingga zaman para tabi'en dan mereka tidak saling mencela di antara satu sama lain" (al-I'tisom 2/191)
Selain tidak beradab dalam menangani perbezaan pendapat, golongan reformis agama ini juga mendakwa bahawa Islam yang sebenar ialah dengan mengikut al-Qur'an dan al-Sunnah dan bukannya mengikut mazhab. Bunyinya menarik dan benar tetapi sebenarnya penuh dengan kebatilan dan kepalsuan sepertimana yang sering diungkapkan "kalimatul haq yuridu biha al-batil".

Mereka secara tidak langsung menyeru masyarakat menjadi ‘bebas mazhab' (al-la madhabiyyah) suatu aliran yang dianggap ‘bid'ah' paling bahaya yang menentang syariat Islam sepertimana ungkapan Sheikh Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam kitabnya "al-la Madhhabiyya Akhtaru Bid`atin Tuhaddidu al-Shari`at al-Islamiyyah (Bebas Mazhab Bid'ah Paling Bahaya Menyalahi Syariat Islam). Bahkan Imam Ibn Rajab al-Hanbali (w 795H/1393M) telah lama menentang aliran ini menerusi kitabnya Radd 'ala man Ittaba'a Ghayr al-Madhahib al-Arba`ah (Sanggahan Terhadap Mereka Yang Tidak Mengikut Mazhab Empat).

Kita perlu faham bahawa apabila disebut ‘mengikut mazhab' bukanlah bermakna taksub kepada pandangan akali para Imam-Imam mazhab, kerana pandangan mereka itu juga sebenarnya didasarkan kepada al-Qur'an dan al-Sunnah. Bahkan mazhab itu sendiri bukanlah pandangan sosok tubuh seorang individu atau Imam mazhab semata-mata. Mengikut mazhab Shafie bukan bermaksud mengikut pandangan Imam Shafi'e seorang diri sahaja, tetapi ianya melibatkan sekumpulan para alima ulama yang mengikut kaedah mengistinbatkan hukum berdasarkan kaedah dan kriteria Imam Shafie.

Adalah tidak benar seperti apa yang cuba dimomokkan oleh kelompok agamawan reformis ini bahawa mengikut mazhab itu seolah-olahnya tidak mengikut al-Qur'an dan al-Sunnah. Terlalu dangkal jika kita berfikiran begitu dan terlalu hina kita meletakkan taraf keilmuan para imam-imam kita dan ulama mazhab yang menghabiskan usia menjadi penyuluh kegelapan umat dengan menelaah al-Qur'an, al-Hadith dan kitab-kitab saban waktu tanpa jemu. Hidup mereka dipenuhi dengan ilmu dan pengajian sehingga ada ulama silam yang walaupun ketika sedang makan masih tetap menelaah kitab-kitab, sedangkan hidup kita penuh dengan bersenang-lenang dan berseronok-seronok.

Adalah amat mengecewakan apabila kita dapati ungkapan-ungkapan menghina para ulama silam dan dilontarkan bersahaja tanpa rasa bersalah bahkan dengan cukup biadab sekali samada dalam tulisan di dada-dada akhbar mahupun di ceramah-ceramah. Ini bukanlah bermaksud mengatakan bahawa para ulama itu maksum dan tidak melakukan kesalahan, tetapi pendekatan menghina itu tidak sewajarnya dilakukan apatah lagi oleh golongan agamawan sendiri.

Kesimpulannya, kelemahan para ulama' bukanlah untuk didedahkan kepada masyarakat umum apatah lagi untuk dijadikan bahan ditertawakan kerana tiada sekelumit manfaat pun yang diperolehi dengan pendedahan sebegitu melainkan ‘mengajar' masyarakat bersikap biadap terhadap para ulama silam.

Kita harus ingat bahawa kita juga ulama' dan apabila kita ‘mengajar' masyarakat awam biadap terhadap para alim-ulama' silam dan tidak menghormati mereka, kita jangan terkejut jika masyarakat juga akan bersikap biadap terhadap kita sendiri selaku ulama suatu hari kelak'.

ISLAM+IMAN+IHSAN = FIQH+TAUHID+AKHLAK(TASAWUF)

Atas niat perkongsian ilmu.. Mudah2an mendapat manfaat dan saham yg berkekalan...

1. "Islam adalah pokok yg tumbuh di atasnya peraturan2 syari'ah. Syari'ah itu ditumbuhkan oleh keimanan. Dengan demikian, tidaklah terdapat syari'ah dalam Islam, melainkan dgn adanya keimanan, sebagaimana syari'ah itu tidak mungkin berkembang melainkan di bawah ruang keimanan. Dengan demikian, syari'ah tanpa keimanan adalah laksana bangunan yg tinggi tanpa pasak (dasar)." (Prof. Mahmud Syaltut).

2. "Barangsiapa yg beriman kpd Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia mengucapkan kata2 yg baik atau bersikap diam. Barangsiapa yg beriman kpd Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia menghormati tetangganya (masyarakat). Dan barangsiapa yg beriman kpd Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia memuliakan tamunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. "Janganlah berputus asa daripada diterimanya amal perbuatan yg di dalam amal itu kamu tidak menemui wujudnya kehadiran di dalam hati. Kerana kadangkala diterima daripada sesuatu amal, apa yg tidak dpt dirasakan buahnya (kemanisan/hasilnya) dgn segera." (Ibnu 'Atho illah)

4. Sabda Rasulullah s.a.w, "Hendaklah kamu beribadah (mengabdikan diri) kepada Allah seolah-olah kamu melihat kepada-Nya. Sekalipun kamu tidak dpt melihat-Nya, maka (ketahuilah bahawa) sesungguhnya Dia melihat kamu." Inilah definisi kpd rukun yg ketiga dlm agama, iaitu RUKUN IHSAN.

5. Seandainya tidak mampu khusyu' dan berbuat ihsan dlm beramal, maka hendaklah hal itu tidak menjadi sebab kpd sikap berputus asa seseorg dlm beramal sehingga tidak mahu lagi mengerjakan amal2 kebajikan. Sebagaimana jika kita mempunyai tanaman yang tidak berbuah, maka janganlah tanaman itu terus ditebang. Tetapi harus diselidiki punca2nya terlebih dahulu.

Rujukan: Matnul Hikam, Syeikh Ibnu 'Atho'illah as Sukandari.

MADRASAH TARBIYAH DI LUAR HADRAT KEKASIH ALLAH..

Dengan ini, sesungguhnya, seorang faqir ini tidak berniat menjadi lawan sesiapa, atau hendak memandai apa2.. Semayang subuh pon, kdg terbabas! :p Tp, kl nak tunggu sampai seseorg tu jd al 'arif biLlah baru blh bersuara, rase sampai reput tak jadi :) Sy hanya dan akan terus cuba memanjangkan ilmu yg sampai.. InsyaAllah, bersanad..



Soal segelintir pihak yang mengatakan bahawa selawat dan puji Nabi tanpa memahami dan menghayati maknanya tu sbg sia2, serta yg mengatakan bahawa mengeluarkan belanja utk membesarkan maulid sbg satu bentuk pembaziran, sgt2 sy kesalkan..



Jika tak suka dgn org jawa, jgn dibenci org yg mkn tempe. Jika meragui penagih dadah, jgn dicemuh si kurus kerempeng. Jika kita tak suka parti sekian, jgn diboikot warna hijau. Jika tak sebulu parti si fulan, jgn ditalak warna biru. Dan seterusnya... Jika kita menolak kaum syiah, jgn dipertikai org yg mengagungkan Nabi Muhammad s.a.w. dan melabel mereka sealiran dgn penganut fahaman syiah. Selagi tauhidnya kekal murni mengesakan Allah, berlapang dadalah dgn kaedah amalan yg serasi sbg penawar hatinya. Manusia berada dlm pelbagai ahwal. Dan jgn dilupa hakikat tingkatan nafsu.. Bkn semua pendekatan, sesuai utk semua org. Demikianlah kaedah yg wajar dipegang oleh seseorg murabbi, dlm memperbaiki "kerosakan" jiwa murid..



Byk isu dan tanda2 zmn skrg yg menunjukkan kejayaan golongan orientalis "menjalankan jarumnya", utk memporak-perandakan kesatuan umat Islam. Dan salah satu yg paling ketara skrg, umat Islam tak segan2 memandang serong kpd bentuk2 amalan yg tertentu, w/p dgn jelas ia tidak mengandungi unsur2 amalan yg bercanggah dgn syara’. Hanya kerana sesetengah pihak menyuarakan pendapat peribadinya, terus amalan terbabit jd bhn berjidal, selanjutnya pasti akan mengundang perpecahan di kalangan umat apabila ada pihak yg pro, dan ada yg kontra dgn pendapat terbabit.



Sebagai contoh, ada pihak yg berpendapat, berzikir secara jahr dan berjemaah itu merupakan satu bentuk gangguan di surau atau masjid, manakala pihak yg satu lagi memandang ia sbg “madrasah” utk melatih seseorang itu menggemakan zikir di dlm hati apabila ia bersendirian. Dua pendapat ini telahpun memecahkan umat kepada dua kumpulan. Dan begitulah seterusnya apabila tercetus dan tersohor pula pelbagai pendapat2 yg lain, yg menyumbang kpd perselisihan demi perselisihan dan menambah-biak kpd perpecahan2 sebelum itu...



Kemudian, yg turut membimbangkan ialah kecenderungan golongan pendakwah, mahupun penuntut ilmu yg gemar merujuk kpd ulama’ mujaddid yg tertentu shj, hingga ke tahap membelakangkan, atau tidak mengiktiraf keilmuan dan karya pemikiran dan penulisan tokoh-tokoh ulama’ mu’tabar yg lain, seperti Al Ghazali dan Imam Syafie sendiri. Sedangkan mereka tidak sedar bahawa pendirian dan kecenderungan sedemikian sebenarnya hanya menyerlahkan kesempitan dada mereka dlm menangani isu2 agama..



Sy hanyalah murid yg merindui keindahan dan keberkatan madrasah ilmu dan keharuman lautan cinta yg melimpah-ruang terhadap Rasulullah, para anbiya’, para auliya’, dan org2 soleh yg dikasihi Allah. Jika telah termaktub di “tangan-Nya” (KEKUASAAN-NYA) seseorg itu terpaksa meninggalkan "daerah" yg dikasihi, maka tugas hamba itu hanyalah redha dengan ketentuan serta cabaran yg baru di tempat yg asing, sambil mengharapkan kebaikan dan keredhaan daripada-Nya.



"Ya ayyatuha an nafs al mutmainnah,

Irji'ii ilaa Rabbiki raadhiyatan mardhiyyah

Fadkhulii fi 'ibaadi

Wadkhulii jannati..." (maaf, sy tak sertakan terjemahannya, takut salah)



Tp, yg blh difahami ialah: kalau kita menuntut kehidupan di syurga, ikutlah jejak org2 terdahulu (iaitu org2 yg soleh, pewaris nabi). Bkn sewenang-wenangnya membuat perubahan semasa berdasarkan hukum akal dan pandangan yg jarang lari daripada tersalah.



Kalau kita suka ditarbiyah dgn nasyid, hayatilah lirik lagu HIJJAZ ni:



"Pandangan mata selalu menipu

pandangan akal selalu tersalah

pandangan nafsu selalu melulu

pandangan hati itu yang hakiki

KALAU HATI ITU BERSIH.."



Sebab itulah jika dilihat pd madrasah ilmu ulama' tanah air yg terdahulu, khususnya dalam sistem pengajian pondok, murid yg ingin menuntut ilmu akan diuji dan digesa supaya memberus hati dgn zikrullah terlebih dahulu, sebelum tiba pada "keadaan" ia bersedia utk menerima limpahan nur ilmu2 yg lain ke dalam jiwanya.



Jika hendak menghirup madu,

jgn lupa bersihkan bejana,

Jika nak hidup bersatu-padu,

jgn alpa menuding dan menghina..



Hati ibarat kawasan tadahan:

Jika ditimbun ego membukit, hujan yg mencurah akan lari melimpah

Jika ditarah tawadhu' melembah, hujan gerimis pun bisa ditadah



Sesuci-suci air zam-zam, tentu ternafi dek cangkir yg cemar

Semurni-murni ajaran Islam, pasti tertolak dek hati yg ingkar



Jgnlah menunggu penuhnya gelas,

sedang di samping, ada yg hampir "mati kedahagaan"

Jgn cenderung menyekat dan membatas

bimbang disaring, tika syafa'at Nabi ditawarkan...



Wallahua'lam...